Konsep Teknologi





TAJUK 1 Teknologi Pengajaran (2 jam)

Tajuk ini mengandungi konsep teknologi, konsep pengajaran, konsep teknologi
pengajaran, peranan teori pembelajaran, mengenalpasti domain teknologi
pengajaran, dan menjelaskan fungsi domain tersebut. Tajuk ini juga
membincangkan hubungkait konsep-konsep di atas.

HASIL PEMBELAJARAN

  1. Menjelaskan konsep dan prinsip teknologi pengajaran.
  2. Mengaitkan peranan teori pembelajaran dalam teknologi pengajaran.
  3. Mengenal pasti domain teknologi pengajaran.
  4. Menghuraikan peranan dan kepentingan teknologi pengajaran.
Subtajuk :
  • Teknologi pengajaran
  • Peranan Teori Pembelajaran
  • Domain Teknologi Pengajaran
  • Peranan dan kepentingan Teknologi Pengajaran dalam P&P
TEKNOLOGI PENGAJARAN


RENUNGAN
  1. Apakah yang anda faham tentang istilah teknologi?.
  2. Bagaimanakah teknologi digunakan untuk pembelajaran?
Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani, “techne” yang bermakna kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatan teknologi terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat.

Kata Heinich, Molenda dan Rusell (1969) “Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi prosesdan idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakalakejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna, dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea samada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula merupakan “pemangkin” ke arah mencapai kejayaan.”


Naim Hj. Ahmad (1990) mendefinisikan teknologi pendidikan sebagai satu perkaedahan atau pendekatan yang memadukan secara harmonis, fungsi-fungsi pengurusan (organisasi dan personel), pengembangan (penyelidikan, teori reka bentuk, penerbitan, penilaian, pemilihan, logistik, penggunaan dan penyebaran dan sumber ( mesej, manusia, bahan, alat, teknik dan cara penyediaan secara sistematik untuk penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran manusia.

Yusuf Hashim (1997), teknologi pendidikan ialah satu proses merancang, membina, mereka bentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan meningkatkan serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan pelajar juga ditekankan sebagai sebahagian daripada teknologi pendidikan kerana hal ini boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Persatuan Komunikasi dan Teknologi Pendidikan (AECT) berpendapat bahawa teknologi pendidikan ialah satu bidang yang terlibat dalam kemudahan menyediakan pembelajaran untuk manusia menerusi pengenalpastian, penyusunan, penggunaan dan pengurusan sumber yang sedia wujud, pengurusan proses dan manusia yang terlibat melakukannya.

"Teknologi pendidikan ialah gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan" (Crowell (1971):Encyclopedia of education)

"Teknologi dalam pendidikan ialah penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam keperluan latihan, yang meliputi kemudahan belajar dengan menggunakan persekitaran setakat mana ianya menimbulkan pembelajaran" (Uhwin Derek (1976): Applying Educational Technology)

Kesimpulan: Teknologi pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.


FIKIR-FIKIR
  1. Apakah yang dimaksudkan dengan Teknologi Pengajaran ?
  2. Apakah kepentingan teknologi pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran?
  3. Apakah pengajaran?
  4. Apakah pembelajaran?


PERANAN TEORI PEMBELAJARAN

RENUNGAN
  1. Apakah teori pembelajaran?
  2. Bagaimanakah pemindahan pembelajaran berlaku?
Teori pembelajaran menjelaskan bagaimana perlakuan dalam proses pembelajaran dalam suatu persekitaran berlaku. Ini dapat membantu guru merancang, menyedia dan melaksanakan strategi P&P berbantu media yang berlandaskan teori pembelajaran yang sesuai.

Mengikut perkembangan pendidikan di Malaysia terdapat tiga (3) teori pembelajaran yang seringkali menjadi rujukan dalam proses P&P iaitu teori tingkahlaku, teori sains kognitif, dan teori konstruktivisme.

FIKIR-FIKIR
Bagaimanakah teori pembelajaran dapat menentukan aktiviti yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi pengajaran?



DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN


RENUNGAN
  1. Apakah domain teknologi pengajaran?
  2. Apakah peranan domain teknologi pengajaran?
Domain Teknologi Pengajaran (1994) adalah teori dan amalan tentang mereka bentuk, membangun, mengguna, mengurus dan menilai proses serta sumber untuk pembelajaran.Teori bermaksud konsep, konstruk, prinsip dan cadangan yang menyumbang kepada badan pengetahuan. Amalan pula bermaksud pengunaan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah.
Teknologi pengajaran adalah satu bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Teknologi pengajaran ialah satu proses yang kompleks dalam menganalisis keperluan pendidikan secara sistematik, saintifik dan rasional bertujuan untuk mereka bentuk dan mengaplikasikannya secara sepadu idea, tenaga, sumber bahan kaedah dan tatacara untuk mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk memudahkan, istilah teknologi pengajaran akan digunakan seerti dengan teknologi pendidikan.


Teknologi pengajaran ialah satu komponen teknologi pendidikan yang merupakan satu gabungan harmonis dan sistematik antara perkakasan, perisian , seni penggunaan dan pengendalian untuk mencapai pengajaran yang berkesan dan bermakna. Secara jelas nya teknologi pengajaran menekankan kepada keperluan dan proses pembelajaran yang berkesan.

FIKIR-FIKIR

Berdasarkan analisis teknologi pengajaran, AECT, senaraikan lima domain teknologi pengajaran. Huraikan maksud dan seterusnya terangkan fungsi bagi setiap domain teknologi pengajaran tersebut.


PERANAN DAN KEPENTINGAN TEKNOLOGI PENGAJARAN DALAM P&P

RENUNGAN

  1. Apakah peranan teknologi pengajaran terhadap pembelajaran?
  2. Bagaimana teknologi pengajaran memberi kesan terhadap pembelajaran?

Tujuan teknologi pengajaran ialah untuk mengubah dan memberi kesan terhadap pembelajaran. Pembelajaran adalah matlamat, manakala pengajaran adalah cara untuk mencapai matlamat ini. Guru harus memahami maksud pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju. pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.

Antara peranan teknologi pengajaran ialah:
(a) Mengubah Peringkat Membuat Keputusan
(b) Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran
(c) Mengubah Pengalaman Pembelajaran


FIKIR-FIKIR
  1. Senaraikan peranan lain teknologi pengajaran mengikut pengetahuan anda.
  2. Mengapakah teknologi diperlukan dalam pengajaran masa kini?
  3. Adakah pengajaran tradisional tidak berkesan yang menyebabkan teknologi diperlukan? Bincangkan.

Ingat:

Simpan segala maklumat yang diperolehi dan hasil kerja dalam portfolio anda.


LATIHAN


Nyatakan secara ringkas definisi konsep-konsep berikut:

a. Teknologi
b. Pengajaran
c. Pembelajaran
d. Teknologi Pengajaran


Bibliografi


Norasiah Abdullah, Nor Risah Jamilah Mat Lazim dan Rosnah Ahmad Zain, (2009) Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Penerbitan Multimedia Kuala Lumpur.

Pautan Lain
  1. Definisi Teknologi Pengajaran
  2. Domain Educational Technology 
  3. Domain Teknologi Pengajaran
  4. Konsep dan domain Teknologi Pengajaran 
  5. Teknologi Pengajaran
  6. The Definition of  Educational Technology

No comments:

Post a Comment